Tuesday, October 13, 2009

Lagenda 12 - Seri Kemboja meminta bantuan Raja Siam

Empat puluh hari empat puluh malam...pertarungan antara Seri Kemboja dan Seri Pahang tiada kesudahannya....penduduk persisiran pantai merasa gementar dan takut untuk berada di laut atau turun ke laut. Hari ke 41 pertarungan itu menampakkan ada kesudahannya. Keadaan Seri Kemboja semakin lemah...ia terus mendap ke dasar laut. Melihat keadaan itu Seri Pahang merasakan ia akan menang di dalam pertarungan ini. Inilah masanya ia ingin memusnahkan musuhnya yang selalu menganggu kehidupan masyarakat sekeliling.....dengan kudrat kesaktian dan tenaganya Seri Pahang pun mengigit kepala seri kemboja....tubuhnya pula dililit dengan sekuat hatinya.....besemburanlah darah yang keluar daripada kepala seri kemboja...banyak sisik gangsanya yang tertanggal disebabkan lilitan Seri Pahang...bertambahlah darah yang keluar dari tubuhnya. Seri Kemboja semakin lemah...akan tetapi ia terus berfikir bagaimana untuk melepaskan dirinya dari cengkaman Seri Pahang. Jika ia berterusan seperti ini kemungkinan besar ia akan tewas ditangan Seri Pahang.

Seri Kemboja mencari ikhtiar untuk melepaskan dirinya dari cengkaman Seri Pahang....dengan kudrat yang ada ia merentap kepalanya sekuat hatinya dan meloloskan dirinya dari lilitan seri pahang....terlepaslah ia dari cengkaman Seri Pahang...akan tetapi darah yang terkeluar dari kepalanya amat banyak sekali...sisik badannya banyak yang tertanggal....seolah-olah badannya seperti dicincang-cincang. Perasaan takut mula menyelubungi dirinya...ia terus berenang melarikan diri dari Seri Pahang menuju ke tempat pertapaannya. Seri Pahang terus mengejar.Akhirnya Seri Kemboja berjaya menyembunyikan dirinya di tempat pertapaannya. Seri Pahang tidak dapat melepaskan dirinya kerana saiznya yang lebih besar.Tunggulah Seri Pahang di luar kawasan pertapaan....menunggu Seri Kemboja keluar....niatnya satu ingin memusnahkan terus Seri Kemboja...

Air laut mula tenang....ombak yang beralun mula reda setelah 41 hari pertarungan di dalam laut berlaku. Seri Pahang masih menunggu di luar...Seri Kemboja yang sudah parah kecederaannya berfikir dan mencari ikhtiar untuk menewaskan Seri Pahang. Melihat akan kecederaannya tidak mungkin Seri Kemboja dapat menewaskan Seri Pahang yang masih gagah perkasa itu. Seri Kemboja mendapat ilham dan meminta bantuan kepada Sri Siam....secara ghaib. Sri Siam memang tidak terlawan terhadap Seri Pahang kerana ia tidak setaraf dengan ilmu yang didapati oleh Seri Pahang. Ia masih bersisik biasa dan telah keluar dari pertapaannya. Maka sisik nya hanya kekal sebegitu buat selama-lamanya. Sri Siam telah pergi meminta bantuan dari Raja Siam untuk memusnahkan Seri Pahang. Syaratnya berbunyi begini "Raja Siam hendaklah mengaturkan 100 biji meriam sepanjang pantai....peluru yang digunakan hendaklah diperbuat daripada emas....sekiranya yang keluar dari permukaan air itu nampak seperti hitam bersinar itulah Seri Kemboja....sekiranya warna putih berkilauan itulah Seri Pahang....maka lepaskan kesemua peluru tersebut kearah naga itu. Terhapusnya Seri Pahang...akan mengembalikan keamanan di kawasan itu.."

Mendengar berita yang disampaikan oleh Sri Siam...maka Raja Siam menitahkan segala bala tenteranya yang diketuai olehnya sendiri....ramailah yang datang berduyun duyun kearah pantai yang mula menampakkan ketenangan.Meriam sudah dihalakan kekawasan laut....siap dengan pelurunya....hanya menunggu masa sahaja untuk dilepaskan. Mendengar persediaan yang disediakan oleh Raja Siam...Seri Kemboja berasa amat lega sekali. Ia mencari helah bagaimana ia nak menimbulkan Seri Pahang ke permukaan air...yang berhampiran dengan pesisiran pantai.

Selepas memulihkan tenaganya....Seri kemboja pun keluarlah dari tempat persembunyiannya. Seri Pahang melihat akan keadaan itu ia pun menyerang semula Seri Kemboja dengan sekuat-kuat tenaganya.Seri Kemboja membawa Seri Pahang ke pesisiran pantai...dengan sekuat tenaga ia pun mengangkatlah Seri Pahang yang berada di atasnya....ke permukaan air. Timbulah Seri Pahang dengan sisiknya putih berkilat....dipanah cahaya matahari. Apabila Raja Siam melihat akan keadaan itu...ia mengarahkan anak buahnya membedil Seri Pahang dengan meriam yang berpelurukan emas...cedera parah Seri Pahang akibat peluru emas yang dibedil kearahnya....sisik perak dibadannya tidak dapat menahan peluru emas yang terkena keseluruhan badannya.Cengkaman Seri Pahang terhadap Seri Kemboja semakin lemah...terlepaslah Seri Kemboja dari cengkaman Seri Pahang.Melihat akan keadaan itu Seri Kemboja melarikan diri ke tempat pertapaannya dan tidak keluar-keluar dari situ.

Walaupun Seri Pahang telah cedera parah dibedil oleh Raja Siam...ia masih mampu lagi mengejar Seri Kemboja...bagi melunaskan niatnya memusnahkan Seri Kemboja. Ia menunggu dan menunggu dan terus menunggu keluarnya Seri Kemboja dari kawasan pertapaannya.berhari hari menunggu tak juga muncul Seri Kemboja.Air laut tenang semula...tiada ombak beralun lagi kelihatan.Melihat akan keadaan itu...Raja Siam mengarahkan anak buahnya pulang semula ke kampong halaman masing-masing.Semua itu pada anggapan Raja Siam telah berakhir. Tetapi bagi Seri Pahang ia masih belum berakhir. Ia masih menunggu keluarnya Seri Kemboja.Setelah menunggu berhari-hari tidak juga muncul...ia pun mengambil keputusan beredar dari situ pulang ketempat pertapaannya. Dengan keadaan lemah akibat kecederaan yang dialami oleh Seri Pahang ....perlahan-lahan ia meninggalkan tempat itu pulang ketempat asalnya diiringgi oleh pengawal-pengawalnya.

1 comment:

  1. Hebat betul pertarungan selama 41 hari ini tetapi tiada siapa yang beroleh kemenangan. Tak aci lah Seri Kemboja meminta Seri Siam mendapatkan bantuan Raja Siam dari kalangan manusia yang nyata. Kalau tidak tentu Seri Pahang tidak cedera parah.

    Namun peperangan mestilah disisipkan dengan tipu muslihat ,kekuatan rohani dan minda. Jika tidak sudah tentu Seri Kemboja dah lama tewas.......hehehe

    ReplyDelete